loading...
Oleh Norhayati Berahim
Tadi ada seorang kawan di Facebook memberitahu saya yang anaknya diejek kerana hitam. Saya teringat satu ketika dahulu, Qaisara bermain dengan seorang anak India muslim.
"Kasihannya umi. Kasihan dekat kakak itu, dia baik tetapi badannya terbakar," kata Qaisara.
Ya, saya rasa ini semua bergantung dengan didikan kita, cara kita berinteraksi dengan anak-anak, lisan kita dengan anak-anak. Saya memang gemar menggunakan perkataan kasihan. Jadi Qaisara selalu mengikut. Apa sahaja keadaan, dia akan berasa kasihan. Cuma saya lupa mengajar dia, manusia memang mempunyai perbezaan kulit mengikut bangsa dan negara.
Hari ini ternampak satu tulisan di WhatsApp, tak tahu siapa penulis asalnya.
BENIH JUGA HITAM
Ada seorang wanita kulit putih melakukan perjalanan bersama seorang anaknya yang berusia 6 tahun. Mereka menaiki teksi yang dipandu oleh seorang lelaki berkulit hitam.
Anaknya belum pernah melihat orang kulit hitam sebelum itu. Maka hatinya sangat ketakutan, lalu bertanya kepada ibunya.
"Ibu, apakah orang ini bukan penjahat? Mengapa kulitnya begitu hitam?" soal si anak.
Pemandu itu tersentak lalu berasa sangat sedih mendengar soalan si anak lelaki penumpangnya itu.
Saat itu pula, si ibu berkata kepada anaknya, "Tidak nak, pakcik ini bukan orang jahat. Dia adalah orang yang sangat baik."
Anaknya terdiam sejenak, lalu bertanya lagi.
"Kalau dia bukan orang jahat, lalu apakah dia pernah melakukan sesuatu yang hina sehingga kulitnya begitu hitam?"
Mendengar kata-kata anak itu, mata pemandu itu bergenang menahan sebak. Namun dia juga ingin tahu bagaimana wanita itu menjawab pertanyaan tersebut.
"Dia adalah lelaki yang sangat baik, juga tidak pernah berbuat jahat. Bukankah bunga-bunga yang indah di kebun rumah kita ada yang berwarna merah, putih, kuning dan warna-warna lain?" kata si ibu.
"Benar, ibu!"
"Bukankah keindahan bunga-bunga iut bermula dengan biji benihnya yang berwarna hitam?" soal ibunya lagi.
Anak ini berfikir sejenak. "Benar ibu! Semuanya berwarna hitam," jawabnya.
"Benih hitam itu yang memekarkan bunga-bunga berwarna-warni yang indah sehingga dunia menjadi penuh warna-warni juga. Bukankah begitu, anakku?
"Benar ibu," kata si anak.
Si aanak tiba-tiba tersedar dan berkata, "Kalau begitu pasti pakcik ini bukan orang jahat. Terima kasih pakcik! Pakcik telah membuat dunia menjadi pernah warna-warni. Saya akan berdoa untuk pakcik."
Lalu mulutnya terkumat-kamit membaca doa. Pemandu kulit hitam itu tidak dapat lagi menahan dirinya untuk menangis air mata kegembiraan.
"Penjelasan yang bijak, mampu memberi kesan yang mendalam. Namun, bijakkah kita dalam memberi penjelasan terhadap orang-orang yang ada di sekeliling kita? Sehingga perkataan-perkataan yang keluar dari mulut kita mampu menenangkan dan mendamaikan suasana?
Renungkanlah, semoga bermanfaat.
loading...
0 Response to "'Umi, kesian kakak tu, dia baik tetapi badannya terbakar'"
Post a Comment